Wednesday 13 July 2011

SINOPSIS ARTIKEL




Mengaplikasikan Teori-Teori Pembelajaran di Dalam Mereka Bentuk
Bahan Pengajaran berasaskan ICT untuk Pendidikan Seni Visual


            Teori-teori  pembelajaran yang digunakan dalam mereka bentuk bahan pengajaran berasaskan ICT adalah seperti teori  Behaviorisme, kognitivisme serta konstruktivisme. pembelajaran mengikut teori behavoris di dalam Pendidikan Seni pula ialah seperti melukis melalui peniruan atau proses ‘imitasi’. Pelajar akan melukis objek yang sama secara berulang-ulang sehingga ia terbiasa dan tidak perlu lagi melihat objek tersebut. Walaupun pembelajaran dengan cara ini adalah berkesan untuk melatih kemahiran tangan, namun ianya hanya bersesuaian untuk pembelajaran pada peringkat awal sahaja dan tidak membantu menjana idea-idea baru. Pendekatan sebegini juga tidak menyokong pembelajaran aras tinggi dan pemikiran kreatif, sedangkan  pembelajaran Pendidikan Seni Visual memerlukan kreativiti yang tinggi.
            Aliran kognitivisme tidak bersetuju dengan pendapat behaviorisme yang mengganggap pelajar seolah-olah mesin yang pasif. Kognitivisme berpendapat manusia adalah sebagai organisma yang mempunyai matlamat dalam tingkahlaku mereka dan sentiasa berinteraksi dengan alam. Mereka menekankan kepada proses-proses dalaman yang berlaku dalam minda manusia. Di dalam Pendidikan Seni Visual, ciri-ciri kognitivisme telah bermula di sekolah-sekolah Seni Lukis Bauhaus di Jerman pada tahun 1919. Sekolah ini telah diasaskan oleh Walter Gropies (seorang arkitek) di Weimar, Jerman pada tahun 1919. Sekolah Seni Lukis Bauhaus memperkenalkan kurikulum yang menggabungkan pengetahuan, pengalaman serta kemahiran seni halus dengan seni gunaan yang berasaskan kemahiran teknikal.
                  Pendekatan pembelajaran secara konstruktivisme pula menekankan bahawa manusia memperolehi pengetahuan hasil dari usaha-usaha mentalnya. Konstruktivisme melibatkan pelajar ke dalam pengalaman yang bermakna di mana pelajar menginterpretasi sendiri maklumat tanpa mengikut apa yang dipetakan oleh orang lain
                  Dalam Pendidikan Seni Visual, pelajar sememangnya digalakkan sentiasa mengembangkan idea utama kepada percambahan idea-idea baru agar dapat menghasilkan karya yang lebih kreatif, estetika dan berkualiti. Sebagai contohnya, dalam pelajaran teori seni bagi tajuk teori warna, daripada kemahiran asas teori warna ini pelajar dapat mengembangkan idea mereka kepada penghasilan warna-warna baru untuk diaplikasikan di dalam karya visual mereka. Pelajar juga boleh diperkenalkan pasangan warna yang bertindak positif dan pasangan warna yang bertindak negatif, dan juga pasangan warna yang boleh mewujudkan suasana yang harmoni, kontra, sejuk, panas dan sebagainya. Melalui pembelajaran konstruktif, pelajar akan memperolehi maklumat, membentuk konsep-konsep dan membuat kategori dengan membezakan warna-warna yang beraneka jenis yang terdapat di persekitaran mereka. Sebagai contohnya, kombinasi warna hijau (latar) dan putih (tulisan) sesuai untuk papan tanda tetapi kombinasi warna hijau dan biru tidak sesuai untuk papan tanda kerana ia bertindak negatif. Daripada pemahaman dan konsep asas ini pelajar dapat menghasilkan grafik atau lukisan dengan membuat kombinasi warna mengikut kesesuaian bagi menghidupkan suasana yang diperlukan seperti suasana sejuk, panas, sedih, harmoni, ceria dan sebagainya.
                        Kesimpulannya pembelajaran melalui laman web mengajak para guru dan mereka yang terlibat dalam pembinaan laman web pendidikan untuk mengalih paradigma pengajaran mereka daripada yang bercorak behaviorisme dan kognitivisme kepada konstruktivisme.

No comments:

Post a Comment